Alumni UNM Seru Rakyat Malaysia Untuk Melindungi Alam Sekitar

Kesan daripada bencana alam yang melanda Malaysia baru-baru ini membuktikan bahawa langkah segera perlu diambil dalam menangani isu perubahan iklim. Sempena Hari Bumi yang bertemakan ‘Invest In Our Planet’ (Melabur Dalam Bumi Kita) yang disambut pada 22 April, semua pihak; kerajaan, organisasi perniagaan, NGO dan individu, diseru untuk segera bertindak. Perubahan iklim adalah satu ancaman sebenar dan memandangkan ia  sedang berlaku dengan pantas, masa yang terbaik untuk bertindak adalah sekarang. Golongan belia yang menghadapi masa depan yang paling berisiko akibat isu ini, lantang bersuara dan mereka mengajukan soalan  penting, “Apakah yang sedang kita lakukan untuk menghentikannya?”

Alumni dari University of Nottingham Malaysia (UNM), Dulanga Witharanage dan Jasmin Ilham, merupakan dua contoh penggiat muda yang menerajui perbincangan tentang tindakan perubahan iklim yang boleh diambil di peringkat tempatan dan global. Dulanga kini berkhidmat sebagai Penyelaras Pasukan Negara dan Pegawai Perubahan Iklim dan Alam Sekitar di Market Development Facility (MDF), Sri Lanka; sebuah Projek Kerajaan Australia di Indo-Pasifik yang dilaksanakan oleh Palladium Group dengan kerjasama Swisscontact, untuk mewujudkan sumber pencarian lestari bagi golongan yang paling terdedah kepada kemiskinan dan perubahan iklim. Beliau telah berkongsi pandangan berikut mengenai perkara ini.

“Pada pendapat saya, salah satu punca utama perubahan iklim ialah ketamakan manusia dalam  melaksanakan pembangunan material secara berterusan. Di samping itu, penyampaian maklumat yang salah dan mengelirukan serta kurangnya kesedaran awam turut menjadi punca masalah,” kata Dulanga. Beliau menambah bahawa kita bukan sahaja perlu memahami peranan setiap pihak dalam isu ini, tetapi juga memastikan mereka bertanggungjawab atas tindakan masing-masing.

Jasmin, berkhidmat sebagai Perunding Iklim dan Alam Sekitar di UNICEF Malaysia, yang berusaha menangani kesan perubahan iklim terhadap kanak-kanak dan hak mereka terhadap persekitaran yang bersih dan lestari, menambah, “Saya percaya terdapat keperluan segera untuk mengukuhkan tadbir urus hal iklim di Malaysia dan para pembuat keputusan utama perlu meletakkan isu perubahan iklim sebagai keutamaan dalam agenda mereka.”

Tindakan kerajaan

Bagi pihak kerajaan, yang merupakan penggubal dasar utama dan penguat kuasa undang-undang, isu perubahan iklim perlu diberikan keutamaan dan diselaraskan di semua kementerian. Jasmin menerangkan bahawa meskipun terdapat rancangan dan dasar yang sedang dirangka, seperti Akta Perubahan Iklim, Dasar Perubahan Iklim Negara dan banyak lagi, usaha tersebut harus disusuli dengan peta hala tuju yang jelas dan strategik bagi memastikan kejayaan pelaksanaan.

Untuk menangani isu kekurangan kesedaran awam, di samping penyebaran maklumat yang salah dan mengelirukan, kerajaan juga bertanggungjawab dalam meningkatkan kefahaman tentang isu iklim ini. Antaranya,menggalakkan perbincangan tentang perubahan iklim dan memastikan setiap pendapat disokong oleh fakta dan perangkaan. Jika kerajaan boleh meningkatkan kefahaman penduduk negara tentang isu iklim ini, satu lagi langkah untuk mencapai perubahan yang nyata dan positif telah kita ambil.

Merubah bekalan pasaran untuk memenuhi permintaan mesra alam

Memandangkan masyarakat global kini lebih prihatin akan kesan buruk akibat perubahan iklim, syarikat-syarikat perniagaan memainkan peranan penting sebagai pemangkin yang membantu mendorong tindakan iklim di peringkat global. Peranan ini terbukti daripada kebangkitan produk lestari atau hijau, di mana terdapat peralihan ketara dalam keperluan dan kehendak pengguna pada hari ini. Jesteru, jenama-jenama perlu berubah bukan sahaja dengan pantas, tetapi juga secara menyeluruh.

“Syarikat-syarikat perniagaan perlu beralih kepada model lestari dan menyesuaikan operasi kepada keperluan alam sekitar kita.  Matlamat ini boleh dicapai dengan mengkaji dan menilai semula rantaian bekalan, lantas mengurangkan emisi berbahaya di semua peringkat,” ujar Dulanga.

Jasmin juga menerangkan kesan negatif terhadap jenama yang mendakwa melaksanakan amalan hijau, tanpa penyelidikan dan pelaksanaan yang sewajarnya. “Banyak syarikat yang berpura-pura hijau atau mesra alam, tetapi pengguna kini tidak lagi terpedaya oleh helah tersebut. Kita kini lebih maklum dan terhubung. Perniagaan perlu mengambil pendekatan secara jujur dalam menambah baik operasi mereka sekiranya mereka mahu mengekalkan kesetiaan pengguna dalam jangka panjang.”

Tindakan mudah yang boleh diambil untuk menyelamatkan bumi kita

Orang ramai juga bertanggungjawab mengurangkan kesan perubahan iklim dengan hanya  melaksanakan beberapa langkah mudah, termasuk meningkatkan kesedaran umum. Dengan menggerakkan insan di peringkat akar umbi dan menggalakkan mereka bersuara, terutamanya dalam kalangan belia, pembuat keputusan penting boleh didesak untuk mengambil tindakan segera. Lebih daripada itu, siapa yang kita pilih untuk membentuk kerajaan akan memberikan kesan terhadap cara usaha ini dilaksanakan.

Langkah-langkah mudah yang lain termasuk menaiki pengangkutan awam, sentiasa menggunakan cawan atau penyedut minuman yang boleh dikitar semula, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan pembaziran makanan, membudayakan amalan kitar semula, menjimatkan tenaga, membeli-belah dengan bijak dan aktif menjadi sukarelawan dalam program alam sekitar.

Dulanga dan Jasmin menekankan betapa pentingnya untuk menyedari bahawa masalah ini ialah ‘masalah kita’ dan bukan sesuatu yang harus diselesaikan oleh pemimpin dan peniagaan semata-mata. “Usaha kita pada hari in, tidak kira besar atau kecil, akan menentukan nasib bumi pada masa depan,” kata mereka.

Kedua-dua graduan Sarjana Muda Sains (BSc) Sains Alam Sekitar di UNM, Dulanga Witharanage dan Jasmin Ilham telah mewakili Malaysia di Persidangan Pihak-Pihak (COP) 22, Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) yang diadakan di Marrakech, Maghribi.

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts

Live Updates COVID-19 CASES