Atikah Abu Bakar Gadis Jurutera Kongsi Hobi Berbasikal

Atikah Abu Bakar, gadis berusia 31 tahun berasal dari Shah Alam, Selangor ini ternyata mudah didekati. Mempunyai karier sepenuh masa sebagai jurutera di sebuah syarikat antarabangsa menjadikan Atikah atau lebih mesra disapa ‘Burn’ seorang yang berpandangan jauh dalam komitmen kerjaya dan kehidupan.

Saya sudah mengenali Burn agak lama, lewat lebih 10 tahun kami berkenalan, jadi agak mudah saya kategorikan Burn sebagai seorang yang peramah dan tidak lokek dengan senyuman. Sesiapa pun akan senang ketika bercanda dengannya. Ini bukanlah kali pertama saya menemubual Burn, saya sudah menemubualnya pada tahun 2010 lagi disaat dia suka-suka menceburi bidang peragaan.

Sekadar sebagai hobi dalam bidang tersebut, kini Burn lebih arif dalam mengatur kehidupan demi masa hadapannya. Kali ini, saya cukup senang mengajak Burn untuk ditemubual dek melihatnya aktif berbasikal dengan penuh gaya sehingga ke Bali, Indonesia telah jauh dia berlalu.

Bercerita mengenai hobinya iaitu berbasikal, “Saya selalu memastikan diri akan berlatih setiap pagi jam 7 selama sejam pada hari bekerja. Ini untuk mengekalkan stamina saya dalam menghadapi cabaran berbasikal pada jarak jauh kadang-kala boleh mencecah lebih 20km satu jam.”

“Kadang-kala ianya bukanlah 100% berbasikal jarak jauh, tetapi pada hujung minggu, saya gemar bersantai dalam berbasikal, boleh jadikan ianya ‘Social Ride’, ‘Coffee Ride’.”

“Pada mulanya, saya tidak menyangka akan aktif dalam berbasikal. Dek kerana satu panggilan dari sahabat saya yang mengajak saya untuk cuba-cuba berbasikal sampaikan hari ini pula saya menjadi aktif seperti mereka. Saya meminjam basikal sahabat saya pada waktu itu ketika melalui laluan Genting Perez – 40 kilometer jauhnya. Tak sangka saya boleh berbasikal sejauh itu buat kali pertama.

Ternyata lepas itu, berbasikal merupakan minat dan hobi paling saya gemari. Paling saya suka mengenai berbasikal adalah semangat antara kami dan juga ianya mencabar minda dan fizikal. Sesungguhnya, ia menjadikan mental saya lebih sihat dan ceria. 2 minggu selepas itu, saya terus berniat untuk mendapatkan sebuah basikal untuk diri kerana saya telah menemui ‘cinta’ baharu ini,” jelas Burn.

Tips Permakanan

Sebagai seorang yang kekal aktif dalam urusan karier dan bersenam, Burn sentiasa menjaga pola permakanannya, mengekalkan nasi sebagai karbohidrat utama supaya tenaga terus ada ketika mengadakan kayuhan jarak jauh. “Saya juga sentiasa mengamalkan permakanan tambahan seperti bar tenaga. Yang paling utama, tidur yang cukup – itu penting kerana tenaga akan dapat direhatkan dan digunakan selepas itu. Saya seorang ‘coffee lover’ jadi menikmati kopi setiap pagi adalah perkara wajib.

“Kadang ada juga tidak cukup tidur sebelum kayuhan memang tidak dapat dielakkan. Malam sebelum mungkin ada meeting atau kerja lain, esok pula saya join rakan-rakan berkayuh namun saya akan rehat secukupnya selepas itu,” katanya.

Cerita Bali

“Bali merupakan pertandingan kayuhan jauh yang pertama saya cuba. 1400 ketinggian dan 100 kilometer, saya tidak menyangka laluan di Bali begitu mencabar dengan bukit-bukau serta keindahan alam sekeliling menjadikan ianya pengalaman yang paling terindah.

“Yang menariknya, semua pelumba disana baik-baik belaka dan mereka memberikan bantuan ketika saya dan rakan-rakan menghadapi kesukaran. Pasukan Indonesia memang best!” ujar Burn.

Sebelum mengakhiri bicara, saya sempat bertanya mengenai ‘Social Ride’ yang biasa dilakukan olehnya, “Oh, itu semestinya apabila pada hujung minggu yang semua ada dan ingin bertemu, kami akan berkayuh sekitar Kuala Lumpur dan merakam beberapa momen indah di Kuala Lumpur sebelum mengakhiri acara pagi di mana-mana kafe atau restoran untuk bersantai. Kayuhan sosial ini lebih santai, relaks dan tidak serius. Sekadar bercanda, satu hari nanti, you can join me too!” katanya

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts