Dato’ Seri Siti Nurhaliza Umum Kehamilan Kedua

Tepat tarikh keramat 1 Disember 2020, Dato’ Sri Siti Nurhaliza mengumumkan kehamilan keduanya pada sidang media bersempena dengan majlis pelancaran BeauSiti bersama WonderLab. Kehamilan kedua yang melalui proses yang sama iaitu IVF seperti kehamilan beliau bersama Aafiyah.

Menurut kenyataan yang dipetik dari Instagram Dato’ Sri Siti Nurhaliza, “Alhamdulillah. Hari ini 1 Disember 2020, saya dan suami membuat pengumuman rasmi mengenai kehamilan saya yang sudah pun berusia 4 bulan.”

Beliau turut menjelaskan, “Tiada niat untuk berdiam diri selama beberapa bulan ini namun saya dan suami berfikir, apabila tiba waktu yang sesuai, kami tetap akan berkongsi berita ini dengan semua, terutamanya keluarga, saudara mara, sahabat handai, para peminat dan sesiapa sahaja yang mengenali kami.”

Memohon Doa Semua

“Saya memohon doa kalian supaya saya dan bayi di dalam kandungan diberikan kesihatan, dipermudahkan hari-hari saya ke depan ini sehinggalah saat melahirkan nanti,” jelas Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang turut tampil dengan foto terbaharunya bersama kandungan keduanya.

Beliau berkesempatan mengucapkan utusan terima kasih, “Terima kasih sekali lagi kepada kalian yang sangat memahami dan tidak putus mendoakan saya selama ini. Saya amat bersyukur di atas kurniaan Allah ini, anugerah yang sangat berharga kerana saya diberi peluang untuk hamil selepas Siti Aafiyah berusia dua tahun lebih.

Alhamdulillah. Terima kasih semua dan doakan saya ya!”

Kami di KitaStory mendoakan agar Dato’ Sri Siti Nurhaliza terus sukses dan diberikan rahmat serta kesenangan sepanjang kehamilan kedua ini.

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts