Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tampil Dengan ManifestaSITI2020

Penyanyi No. 1 negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza kini hadir dengan album studio solo ke-18 yang dilancarkan pada 3 Julai 2020. Buah tangan terbaharu ini menjadikan beliau antara penyanyi yang aktif melahirkan album dengan keadaan industri muzik tempatan yang kurang memberangsangkan sejak beberapa tahun ini.

Lebih dari 25 tahun berada di industri muzik, ternyata Dato’ Sri Siti Nurhaliza berada di liganya yang tersendiri. Album terbaharu ini menampilkan 11 buah lagu baharu yang diterbitkan kerjasama antara Siti Nurhaliza Production dan Universal Music Group Malaysia, antara komposer yang terlibat sama dalam penghasilan album ini ialah Omar K, Ikhwan Fatana, Jevees, Aubrey Suwito, Hael Husaini, Ippo Hafiz, Luca Sickta & Kmy Kmo, Raja Kobat, Ryan Kyoto dan Melly Goeslaw.

Kuasa Cintamu

Dalam album terbaharu ini yang menampilkan sebuah lagu berjudul Kuasa Cintamu yang dicipta oleh Melly Goeslaw dan lirik bersama Siti Nurhaliza. Lagu ini ditujukan khas buat anak perempuan, Siti Aafiyah Khalid, menurut Siti, “Lagu ini mempunyai sentuhan peribadi saya. Liriknya ditulis khas buat Aafiyah. Ia berkisahkan bagaimana penantian saya sebelum ni untuk mendapatkan anak. Saya luahkan segala emosi dalam lirik. Ia yang menjelaskan bagaimana rasa bersyukur saya apabila doa untuk menimang anak dimakbulkan Allah.”

Kontroversi Kulit Album

Menjelaskan desas-desus di media sosial yang membahaskan perihal kulit album terbaharu beliau, Siti dalam sidang media bersama wartawan berkata, “Kulit album ini mempunyai maknanya tersendiri apabila saya inginkan pakaian warna mustard supaya ianya nampak lebih ceria, terang dan bersemangat. Saya membuat penggambaran di luar studio kali ini agar tampil berbeza daripada kulit album sebelum-sebelum ini kerana saya mahukan sesuatu yang nampak bebas.”

Bagi yang tidak tahu, ini bukanlah kali pertama Siti tampil dengan kulit album berlatarbelakang bukan studio, menerusi album Prasasti Seni pada tahun 2004. “Situasi genting yang kita lalui sebelum ini menjadikan ianya adalah satu nafas baru, semangat berbeza dan lebih segar,” tambah Siti.

Cabaran Penghasilan Album ManifesitaSITI2020

Ditanya mengenai cabaran dalam penghasilan album studio ke-18 ini, Siti berkata, “Sememangnya ianya suatu yang sukar kerana kita ingin menyampaikan satu karya yang lebih baik dari sebelum ini. Jadi, kualiti adalah keutamaan dalam penghasilan album kali ini.

“Setiap kali untuk menghasilkan sebuah album, pasti timbul rasa pressure kerana saya dan mereka yang terlibat ingin menyampaikan karya yang dapat memuaskan pendengar. Kita bukan sahaja mahu hasilkan satu lagu yang bagus tapi satu album yang memberikan kepuasan mutlak.

“Syukur, proses penghasilan album kali ini berjalan lancar meskipun tergantung sedikit dari jadual asal yang patut dilancarkan pada April 2020 lalu. Saya berharap album ini menerima maklum balas yang positif dari peminat,” ujarnya.

Album kali juga menampilkan lagu lama oleh Dato’ Sudirman Haji Arshad berjudul Teratai Menjelma, yang diberi nafas baharu dan dinyanyikan secara tersendiri oleh Siti.

Teks: Zainal Afnan Foto: Ihsan Universal Music Malaysia

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts