Filem Animasi Pendek Humane Society International “Save Ralph”

Pembuat filem Hollywood dan bintang filem telah bergabung tenaga dengan Humane Society International untuk menghasilkan sebuah filem animasi pendek gerak henti yang berimpak tinggi, Save Ralph, dalam usaha mengharamkan ujian kosmetik dilakukan terhadap haiwan di seluruh dunia. Walaupun telah diharamkan di 40 buah negara, praktik ini masih dilakukan secara sah di sebahagian besar dunia, termasuk Malaysia, malah telah membuat kemunculan semula di beberapa wilayah, menyebabkan ribuan haiwan menderita dan mati dengan sia-sia.

Ralph, juru bicara untuk kempen global HSI untuk melarang ujian kosmetik pada haiwan

Taika Waititi, Ricky Gervais, Zac Efron, Olivia Munn, Pom Klementieff, Tricia Helfer dan ramai lagi telah bersama-sama tampil membantu HSI untuk mengubah praktik tersebut dengan menyumbangkan suara mereka dalam filem Save Ralph, yang bertujuan untuk menarik perhatian ramai terhadap penderitaan yang ditanggung oleh haiwan di samping melibatkan pengguna serta penggubal dasar dalam misi HSI untuk mengharamkannya. Penulis dan pengarah Spencer Susser (Hesher, The Greatest Showman) serta penerbit Jeff Vespa (Voices of Parkland) bekerjasama dengan studio Arch Model milik pembuat boneka terhebat, Andy Gent dalam penghasilan filem ini untuk menghidupkan watak Ralph. Filem ini juga dilancarkan dalam bahasa Portugis, Sepanyol, Perancis dan Vietnam yang menyaksikan Rodrigo Santoro, Denis Villeneuve dan selebriti lain membuat alih suara dalam bahasa tersebut untuk watak-watak dalam filem ini, manakala Maggie Q pula memberikan mesej video sokongan.

Tonton filem pendek ini dan dapatkan bahan ilmiah mengenai status terkini ujian haiwan serta cara untuk menghulurkan bantuan dihsi.org/Ralph

Jeffrey Flocken, Presiden Humane Society International, berkata: “Save Ralph adalah panggilan kesedaran akan hakikat yang haiwan masih menderita untuk kosmetik, justeru itu sekarang adalah masanya untuk kita bersatu dan mengharamkannya secara global. Hari ini kita mempunyai banyak pendekatan yang boleh dipercayai dan bebas haiwan untuk menjamin keselamatan sesuatu produk, oleh itu tiada alasan untuk melakukan penderitaan terhadap haiwan seperti Ralph yang bertujuan menguji kosmetik atau kandungannya.”

Filem ini memaparkan mengenai kisah jurucakap kempen HSI, Ralph, yang dialih suara oleh Taika Waititi, ditemu ramah ketika menjalani rutin hariannya sebagai “bahan uji kaji” di makmal toksikologi. Kempen #SaveRalph HSI ini menyentuh tentang isu yang tidak menyenangkan membabitkan ujian haiwan dengan olahannya yang tersendiri dan di luar jangkaan. Ia mengetengahkan kisah seekor arnab untuk menarik perhatian ramai terhadap nasib arnab dan haiwan lain yang tidak terhitung bilangannya yang sedang menderita pada saat ini di makmal-makmal seluruh dunia. Filem ini mengajak penonton untuk membantu usaha mengharamkan ujian kosmetik terhadap haiwan buat selamanya.

Pengarah, Spencer Susser berkata: “Haiwan di makmal ujian kosmetik tidak mempunyai pilihan dan menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan sesuatu mengenainya. Apabila mendapat peluang untuk menjalankan sebuah kempen baharu buat Humane Society International, saya merasakan bahawa teknik gerak henti merupakan cara yang terbaik untuk menyampaikan mesej kempen tersebut. Apabila anda melihat realiti yang mengerikan terhadap cara haiwan diperlakukan, pasti anda tidak sanggup dan berpaling darinya. Apa yang saya harapkan daripada pembuatan filem ini adalah menghasilkan sesuatu yang menyampaikan mesej tanpa terlalu berat. Oleh itu, saya harap penonton akan terpikat dengan  Ralph dan ingin berjuang demi beliau serta haiwan lain yang senasib dengannya, agar kita boleh mengharamkan sepenuhnya ujian terhadap haiwan.”

Ralph, juru bicara untuk kempen global HSI untuk melarang ujian kosmetik pada haiwan

Claudia Dang Thi Phuong Thao, Pengurus Kempen Humane Society International ASEAN, berkata: “Pengujian haiwan untuk kosmetik merupakan praktik yang sememangnya kejam dan tiada keperluan. Tinjauan pendapat yang dikendalikan oleh Ipsos dibawah seliaan Humane Society International pada 2019 mendapati bahawa orang ramai menyokong ujian haiwan untuk kosmetik diharamkan di seluruh ASEAN, dengan 93 peratus sokongan dari Malaysia dan purata 87 peratus sokongan dari semua negara ASEAN lain. Dengan keputusan yang mengagumkan ini, Malaysia perlu mengorak langkah ke pasaran kosmetik yang bebas kekejaman. #SaveRalph adalah desakan global dan kempen kesedaran awam bertujuan memaparkan penderitaan menyayat hati yang dialami oleh haiwan semasa pengujian. Inisiatif ini juga merupakan peringatan bagi penggubal undang-undang bahawa kita memerlukan penguatkuasaan yang sangat ketat terhadap pengharaman ujian haiwan kerana tiada haiwan yang harus menderita dan mati atas nama kecantikan.”

 Troy Seidle, Naib Presiden Penyelidikan dan Toksikologi HSI, berkata: “Sangat mudah untuk menganggap bahawa syarikat merupakan masalahnya, namun hakikatnya mereka adalah komponen penting dalam penyelesaian. Undang-undang perlu dipinda, dan peneraju industri seperti Lush, Unilever, P&G, L’Oréal dan Avon telah bekerjasama dengan kami untuk memastikan pengharaman ujian haiwan di pelbagai pasaran kecantikan yang paling berpengaruh di dunia. Ralph direkrut sebagai jurucakap kami untuk membantu memperjuangkan undang-undang ini hingga ke garisan penamat.”

Ralph, juru bicara untuk kempen global HSI untuk melarang ujian kosmetik pada haiwan

Pelakon Maggie Q berkata: “Saya percaya pada manusia. Saya berasa jika mereka mengetahui tentang penderitaan dahsyat yang dialami oleh haiwan disebabkan kecantikan, pasti mereka akan menuntut perkara berbeza. Ujian kosmetik terhadap haiwan masih sah di kebanyakan tempat di seluruh dunia, termasuk Asia Tenggara. Maka, saya menyeru semua pengguna di rantau ini untuk berfikir kali kedua dalam setiap perbelanjaan kita. Pada saya, saya tidak memerlukan produk yang menyokong kekejaman untuk kelihatan cantik. Begitu juga dengan anda! Ayuh kita perjuangkan hal ini bersama!!”

Kempen ini memfokuskan pada 16 negara utama termasuk Brazil, Kanada, Chile, Mexico, Afrika Selatan, dan 10 negara Asia Tenggara, manakala rakan organisasi, Humane Society of the United States dan Humane Society Legislative Fund, pula memfokuskan pada perundangan di Amerika Syarikat. HSI juga memperjuangkan pengharaman yang telah pun dikuatkuasakan seperti di Eropah namun pihak berkuasa cuba mengeksploitasi ketirisan dalam perundangan dengan menuntut ujian haiwan yang baharu dilakukan terhadap bahan kosmetik dibawah undang-undang kimia. Save Ralph akan membuka mata semua negara ini, dan mendorong mereka ke arah masa hadapan yang bebas kekejaman seperti yang diharapkan oleh orang ramai dan pengguna.

Fakta ringkas:

  • Tinjauan pengundian terkini menunjukkan 93 peratus rakyat Malaysia menyokong ujian kosmetik terhadap haiwan diharamkan.
  • Di beberapa tempat di dunia, arnab seperti Ralph dirantai di leher dan dititiskan dengan produk serta kandungan kosmetik ke dalam mata mereka begitu juga ke atas kulit badan yang dicukur. Manakala, tikus termasuk tikus belanda pula diratakan bahan kimia tersebut ke atas kulit mereka yang telah dicukur atau di telinga. Tidak ada walau seekor pun haiwan terbabit diberikan ubat tahan sakit dan kesemua mereka akan dibunuh pada akhirnya.
  • Ujian haiwan untuk kosmetik telah diharamkan secara rasminya di 40 negara. HSI dan rakan kongsi berperanan dalam perlaksanaan pengharaman tersebut di India, Taiwan, New Zealand, Korea Selatan, Guatemala, Australia dan 10 negeri di Brazil. Ujian tersebut juga diharamkan di Turki, Israel, Norway, Iceland, Switzerland dan di negeri Amerika Syarikat berikut; California, Illinois, Nevada serta Virginia.
  • Lebih daripada 2,000 jenama kecantikan yang “bebas kekejaman” boleh didapati di seluruh dunia, termasuk Lush, Garnier, Dove, Herbal Essences dan H&M. Syarikat-syarikat ini menghasilkan produk yang selamat dengan menggunakan bahan-bahan dengan sejarah penggunaan yang selamat serta alat penilaian keselamatan bebas haiwan yang moden. Masih belum terdapat panduan membeli-belah global, namun HSI mengangkat LeapingBunny.org sebagai sumber yang berguna.
  • HSI memberi amaran bahawa kosmetik yang bebas kekejaman akan terancam sekiranya undang-undang keselamatan kimia terus menuntut ujian haiwan baharu dilakukan terhadap bahan kimia yang digunakan secara eksklusif dalam kosmetik. Inilah faktor yang mendorong kempen #SaveRalph mengutamakan pengharaman terhadap ujian dikuat kuasakan dan dipertahankan dengan tegas.
  • Selain mengusahakan pengharaman ujian termaktub dalam perundangan, HSI dan rakan kongsi berkolaborasi untuk membangunkan sebuah program latihan dalam penilaian keselamatan bebas haiwan bagi menyokong usaha syarikat kecil dan pemerintah kerajaan beralih daripada ujian haiwan ke kaedah terkini tanpa penglibatan haiwan, yang mudah didapati dan lebih baik dalam menjamin keselamatan manusia berbanding ujian haiwan.

 Ketahui lebih lanjut di hsi.org/Ralph.

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts