IJM LAND Bantu Ringkan Beban Sempena Riang Ria Raya

Bulan suci Ramadan adalah masa yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di seluruh dunia, dan ia juga merupakan masa untuk memperbaiki diri bersama dengan keluarga dan rakan-rakan untuk meraikan kegembiraan dan kebahagiaan pada bulan ini. IJM Land Berhad (IJM Land) – salah satu pemaju hartanah terkemuka di Malaysia yang sentiasa mengambil berat terhadap komuniti di Seremban, kembali dengan Program Mesra Ramadan tahunan mereka untuk memastikan sambutan Ramadan dan Raya yang barakah bagi mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan dengan memberikan barangan keperluan harian dan bantuan wang tunai.

IJM Land menyedari bahawa terdapat individu yang mungkin masih menghadapi cabaran hidup akibat pandemik ini sambil menyesuaikan diri dengan norma baharu pada Ramadan ini. Demi melakukan perubahan dan meringankan kebimbangan masyarakat, IJM Land telah mengenal pasti lima keluarga kurang bernasib baik di Seremban yang sangat memerlukan bantuan. Sumbangan box of kindness termasuk barangan runcit (beras, minyak masak, biskut Raya, Milo, dan lain-lain) bernilai RM300 dan duit raya sebanyak RM1,200 disumbangkan oleh IJM Land untuk memudahkan persiapan mereka untuk sambutan Aidilfitri yang lebih diingati dan menggembirakan.

Dato’ Hoo Kim See, Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad (Wilayah Tengah) berkata mereka percaya bahawa sumbangan-sumbangan kecil ini dapat bantu meringankan beban kehidupan keluarga dan mengurangkan tekanan kewangan, terutamanya pada musim perayaan.

“Ramadan tidak lagi seperti dulu, lebih-lebih lagi ketika negara kita berada dalam fasa peralihan endemik di mana kebanyakan daripada kita masih dalam mod pemulihan. Untuk menyesuaikan diri berdasarkan keadaan semasa mungkin bukan sesuatu yang mudah bagi sesetengah orang. Oleh itu, kami di IJM Land sentiasa berusaha untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik di samping membawa perubahan dalam kehidupan mereka yang memerlukan,” kata Dato’ Hoo.

Antara penerima bantuan Program Mesra Ramadan ialah Mohd Zukhilal Bin Harun, 41, seorang pekerja restoran dengan pendapatan rendah yang juga pencari nafkah untuk keluarga dengan empat orang anak, di mana salah seorang anaknya mengalami Disleksia (kecacatan pembelajaran). Mastura Binti Abdul Rahim, seorang janda berusia 55 tahun yang menjual minyak kelapa sawit untuk mencari nafkah, kini menghidap diabetes dan baru-baru ini, tiga jari kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis. Selain itu, IJM Land turut membantu tiga keluarga lain iaitu Kader Batcha Bin Abdul Karim, 56, seorang pemandu teksi, duda dengan empat orang anak; Hamidah Binti Md Ifa, seorang ibu tunggal berusia 45 tahun yang berjuang untuk menyara anak perempuannya dengan purata pendapatan bulanan RM300 sebulan hasil daripada menjual kuih; Marni Binti Koi, seorang ibu tunggal berusia 34 tahun yang anak perempuannya juga merupakan penerima Program Subsidi Prasekolah IJM Land (Oktober 2021 hingga Mac 2022), kini serba kekurangan dengan menyewa sebuah bilik sahaja masih bekerja keras sebagai pembantu kedai untuk menyara diri dan anak perempuannya.

“Ketika kebanyakan rakan-rakan Muslim kita sudah tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri yang lebih meriah dengan orang tersayang pada tahun ini, tetapi masih ada di kalangan kita yang tidak dapat menikmati musim perayaan seperti yang mereka hajati. Di IJM Land, kami komited untuk membantu masyarakat dengan sebaik mungkin demi memberikan mereka sambutan Riang Ria Raya yang tidak dapat dilupakan, sementara itu, kekal menemani mereka pada masa yang sukar ini,” tambah Dato’ Hoo.

“Kami dikurniakan dengan keupayaan yang membolehkan kami untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan dan kami sangat gembira dapat berkongsi rezeki dengan mereka – dengan memastikan inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.”

Sebagai salah satu pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, IJM Land berdedikasi untuk menyokong dan meningkatkan taraf hidup masyarakat yang kurang bernasib baik di Seremban sebagai sebahagian daripada Polisi Pelaburan Komuniti mereka. Sejak 2018, IJM Land telah membantu hampir 50 keluarga untuk meringankan beban kewangan mereka pada musim perayaan melalui program amal mereka seperti Deepavali Charity Cheer Programme, Program Amal Tahun Baru Cina, dan Program Mesra Ramadan. Dengan usaha berterusan daripada pasukan IJM Land, lebih banyak program CSR akan diadakan dari masa ke semasa untuk meningkatkan kehidupan masyarakat kita dengan lebih baik.

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://seremban2.ijmland.com/.

Kongsi Artikel Ini
By Aziyyati Kamal

Related Posts

Live Updates COVID-19 CASES