Kenali Trio CalaQisya

Jenama CalaQisya merupakan jenama yang tidak asing lagi di negara kita. Mempunyai bilangan pengikut dan pengemar jenama ini melepasi angka 640,000, ternyata apa sahaja yang dihasilkan oleh tiga beradik ini pastinya akan menjadi panutan dan ikutan pengikut mereka. Koleksi mereka baru-baru ini tampil segar dan sangat bersahaja, bersesuaian dengan keadaan di Malaysia yang masih lagi di musim PKP, mereka menterjemahkan gaya santai dan minimalis menjadi kunci kejayaan mereka. Wajah Kita kali ini menampilkan trio bertiga CalaQisya untuk kalian kenali secara lebih dekat lagi.

Memulakan jenama CalaQisya diatas minat mereka sendiri, Farah Ilyana Khairuddin (Yana), Farah Mislina (Farah) dan Farah Azrina (Azrina) mengembangkan perniagaan keluarga mereka ini dari awal hingga maju ke hari ini. Mereka kini sudah selesa dikenali sebagai salah satu jenama sopan tempatan yang amat digemari lapisan masyarakat di Malaysia.

Detik Permulaan 

Ditanya mengenai titik permulaan jenama CalaQisya, “Jenama CalaQisya ini bermula apabila kami memperkenalkan secara talian dengan nama ‘Oh Saya Suka Shawl’. Kakak sulung diantara empat orang beradik ini, Saya (Yana – CEO CalaQisya) mula berniaga ketika menuntut dalam jurusan Sarjana Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada 2009. Saya mula menjual tudung yang dibeli di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur kepada rakan universiti dan pembaca blog saya yang sentiasa berminat untuk membeli apa saja yang saya pakai ketika itu. 

Farah Ilyana Khairuddin (Yana), Farah Mislina (Farah) dan Farah Azrina (Azrina)

“Disebabkan oleh sambutan hangat yang diterima, dan saya memahami bahawa baju muslimah / sopan sangat sukar untuk didapati ketika itu (kebanyakan baju di pasaran samada kelihatan terlalu jarang atau mahal), saya bertekad untuk menyediakan pakaian muslimah rekaan sendiri pada harga berpatutan dan pada masa yang sama mendidik wanita agar berpakaian mengikut syariat Islam. Maka, lahirlah jenama CalaQisya yang anda kenali pada hari ini,” jelas Yana.

“People Are Our Idols”

Setiap dari kita pastinya mempunyai idola dalam bidang yang diceburi, mereka bertiga juga tidak lari dari mempunyai idola dalam industri fesyen tempatan dan juga antarabangsa, “Dalam industri fesyen tempatan, kami cenderung untuk mempelajari lebih lanjut mengenai rakyat Malaysia sendiri dan juga CalaQueens (pelanggan CalaQisya) kerana CalaQisya adalah jenama RTW bukan jenama pereka. Kami melihat apa yang perlu dipakai oleh orang ramai dalam kehidupan seharian mereka dan dari situ, kami akan mengeluarkan koleksi yang sesuai dan seterusnya akan disambut baik oleh pelanggan CalaQisya.

“Untuk industri fesyen antarabangsa, kami juga akan melihat bagaimana budaya dan geografi yang berbeza menggambarkan cara mereka memakai pakaian mereka. Seperti bagaimana ia lebih terang dan berwarna di Los Angeles, gelap dan serius di New York, longgar dan linen / kapas di Jepun,” kata mereka apabila ditanya mengenai idola mereka.

Tambah mereka lagi, “Dengan ini, kami boleh katakan bahawa “people are our idols” dan sumber inspirasi di sebalik koleksi CalaQisya.”

Kami cenderung untuk mempelajari lebih lanjut mengenai rakyat Malaysia sendiri

Dorongan Dan Tips Perniagaan

Setiap perniagaan ada pasang surutnya, ada kala kita melihat sesebuah jenama itu pasti tenggelam seketika dan naik mendadak, dan ada pula terus mendatar, namun jenama CalaQisya masih lagi menjadi pujaan ramai meskipun lambakan jenama baharu muncul bak cendawan. Ditanya mengenai apakah yang mendorong mereka untuk terus berada di arena fesyen, “Selagi keperluan untuk membeli masih ada dan selagi kami boleh mengeluarkan koleksi yang merupakan satu penyelesaian buat masalah yang sedia ada (kami menawarkan solusi kepada masalah pelanggan; seperti pakaian untuk cuaca panas, poket untuk seluar wanita, pakaian yang tidak perlu digosok, koleksi tanpa bau (odorless), Insya Allah, CalaQisya akan sentiasa wujud.”

“Tip kami buat anda adalah buat perkara yang paling anda sukai dan tidak didorong oleh wang sahaja atau anda akan kehilangan identiti jenama anda,” ketika disoal apakah tips untuk mereka yang ingin membina kerjaya sebagai pengasas dan peneraju dalam industri fesyen.

Penting Bahagi Masa

Pastinya sebagai wanita yang bekerjaya dan mempunyai keluarga menuntut masa yang lebih untuk mereka bertiga membahagi waktu santai dan kerja, dan juga baru-baru ini juga ada tular mengenai bagaimana CalaQisya menjaga pekerja mereka dengan begitu baik sekali di beberapa laman sesawang sosial, mereka berkata, “Baru-baru ini kami mengurangkan masa bekerja untuk ibu pejabat kami kepada 4 hari dan setengah hari seminggu (Jumaat setengah hari). Kami fikir, adalah sangat penting bagi seseorang yang menggunakan otak untuk bekerja untuk mempunyai keseimbangan yang sama antara kerjaya dan kehidupan sosial. 

“Buat masa ini, kami rasa inisiatif ini sudah cukup tetapi kami akan terus berusaha untuk memperbaiki apa yang perlu dan melihat apa yang boleh kita lakukan untuk menjadikan kerja di CalaQisya adalah sesuatu yang kami (dan para pekerja) suka tanpa ada rasa terbeban.”

Tips Fesyen CalaQisya

Koleksi CalaQisya x Disney Villianess

Acapkali kita mendengar komentar yang jahat mengatakan seseorang itu tidak pandai bergaya apabila mereka meletakkan gambar bersahaja fesyen di Instagram atau laman lain, ramai yang tiba-tiba menjadi pakar fesyen bak seantero alam, nah, ini tips fesyen dari mereka bertiga yang arif dengan suai padan koleksi pakaian, “Kami adalah jenama yang sopan dan minimalist make jenis fesyen kami adalah untuk blend in tanpa tampak terlalu plain. Pakai seluar kegemaran anda dengan tona warna seluar yang serupa dan jika anda memakai hijab, pakai dengan tona warna yang

sama dengan seluruh pakaian anda.”

5 Fakta Menarik Tentang Trio CalaQisya

● Orang kenali kami 3 beradik perempuan (three Farahs) tapi sebenarnya, kami juga ada seorang adik lelaki.

● Kami juga miliki satu jenama pakaian lelaki dan satu jenama penjagaan badan

● Sebilangan besar daripada kakitangan CalaQisya berbasikal ke tempat kerja. Dan ramai antara kakitangan CalaQisya tinggal di kawasan yang sama.

● Kami bertiga semua dari kursus pengajian yang berbeza, Yana dari industry kimia, Farah adalah kejuruteraan mekanikal manakala Azrina adalah analisis pelaburan.

● Kami dilahirkan di Perak tapi kami pernah tinggal di serata Malaysia kerana ibu bapa kami ingin mendedahkan kami kepada budaya yang berbeza.

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts