Koleksi Levi’s® x Pokémon Rai Ulang Tahun Ke-25!

Kala mengimbau barisan ikon ‘90-an, sukar untuk membayangkan sesuatu yang lebih besar daripada Pokémon, francais hiburan yang masih disukai kanak-kanak juga golongan dewasa seantero dunia. Saat melangkahnya dunia ke era milenium, siapa yang tidak mahu menyertai pengembaraan bersama Ash, Misty, dan Pikachu ketika mereka meneroka dunia Pokémon yang penuh berwarna-warni? Justeru bagi meraikan dunia ikonik ini, dan ulang tahun ke-25 Pokémon tahun ini, Levi’s® hadir dengan koleksi penuh ceria Levi’s® x Pokémon yang berinspirasikan era ‘90-an.

“Menyeronokkan apabila mendengar ramai yang berkongsi cinta mereka pada Pokémon. Masing-masing punyai watak kegemaran tersendiri. Jadi apabila kami berpeluang untuk bermain dan menghasilkan pelbagai rekaan daripada watak ikonik Pokémon ini, ia menjadi pengalaman yang amat istimewa. Koleksi hebat ini memberi penghormatan serta meraikan dunia Pokémon, dan ia sesuatu yang menarik apabila dapat menggabungkan sejarah dan ikon kami dengan mereka – ia menimbulkan nostalgia dan rasa optimistik, dengan sedikit unsur eskapisme.” – Karyn Hillman, Ketua Pegawai Produk di Levi Strauss & Co.           

Diilhamkan daripada musim pertama siri animasi asli Pokémon, koleksi ini merangkumi himpunan denim, helaian kemeja, kemeja-T, celana pendek, fleece dan aksesori yang menampilkan grafik serta cetakan watak-watak popular animasi itu, di samping gambaran persekitaran hutan dalam persekitaran Kanto. Antara helaian yang mencuri perhatian ialah Jaket Vintaj Fit Trucker stail ’90-an, yang menonjolkan sulaman besar Pikachu dan tampalan bentuk panahan kilat untuk Pokémon berjenis elektrik.     

“Pada sambutan ulangtahun ke-25 ini, jenama Pokémon meraikan legasinya dalam budaya pop bersama peminat-peminat di seluruh dunia. Rakan-rakan kami di Levi’s® telah mengembangkan koleksi yang menampilkan ikon daripada francais ini yang menggabungkan semangat era ketika Pokémon pertama kali dilancarkan bersama kesedaran terhadap gaya zaman ini dengan cara yang hanya dapat dilakukan olej Levi’s®. Ini adalah kolaborasi yang menyeronokkan bersama Levi’s® untuk melihat kembali asal-usul Pokémon, sekali gus menawarkan peminat yang membesar dengan jenama ini dan mereka yang mengikuti trend terkini sebagai salah satu cara untuk menggabungkan nostalgia Pokémon yang pintar serta comel dalam penataan gaya mereka. ” – Amy Sachtleben, Pengarah Perlesenan di The Pokémon Company International

Turut hadir dalam himpunan kolaborasi menarik ini ialah kemeja-T grafik yang mengimbau kembali seni watak klasik seperti Ash, Misty dan Pokémon daripada musim pertama. Dan bagi peminat Misty, Levi’s® membawakan celana pendek Misty Short dan kemeja-T tanpa lengan Misty Tank sebagai penghormatan kepada padanan ikonik yang digayakannya dalam siri itu.

Dari kiri: MISTY SHORT POKEMON BIRU CERULEAN RM299, VINTAGE FIT TRUCKER POKEMON STONE TRUCKER RM429, MISTY TANK TOGEPI KUNING PASTEL
RM99, POKEMON CREW UNISEKS HAPPY PIKACHU CAVIAR RM279.

Aksesori dan barangan runcit juga tidak ketinggalan disuntik dengan elemen Pokémon, seperti topi trucker merah dan putih yang seakan sama dipakai Ash Ketchum dalam siri itu. Juga ada topi beanie kait Pikachu dengan telinga kuning tiga dimensi. Turut dipersembahkan ialah beg gim Pokémon dengan cetakan flora, beg silang Poké Ball serta beg pouch klip dengan sulaman watak Pokémon di bahagian depan. Dan untuk barangan runcit, koleksi ini menyerlahkan jenama Pokémon pada tampalan belakang Levi’s® dan Red Tabs yang meniru rona merah dan putih Poké Ball.           

Dari kiri: TOPI TRUCKER POKEMON RM99, JENAMA POKEMON BRANDING PADA TAMPALAN BELAKANG LEVI’S®, TOPI BEANIE POKEMON RM99, BEG SILANG POKEMON POKEBALL RM99.

Berharga antara RM49 ke RM429, himpunan Levi’s® x Pokémon ini akan menjengah peminat secara pra-pesanan menerusi www.levi.com.my mulai 10 Februari 2021, sebelum dibawa ke butik Levi’s® seluruh negara mulai 15 Februari 2021.      

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts