MeDKAD Umumkan Integrasi Bersama Mysejahtera

  • Keputusan ujian menggunakan kit ujian kendiri rapid antigen COVID-19, SALIXIUM kini boleh diintegrasikan terus ke MySejahtera
  • Integrasi ini adalah langkah proaktif dari kedua pihak untuk bekerjasama memerangi penularan pandemik

MeDKAD SDN BHD (MeDKAD) hari ini mengumumkan inisiatif integrasinya bersama MySejahtera. Melalui daya usaha ini, konsumer yang menggunakan produk MeDKAD, iaitu kit ujian kendiri rapid antigen COVID-19, SALIXIUM COVID-19 Rapid Antigen Test (Sampel calitan Air Liur/Hidung) (SALIXIUM) boleh melaporkan keputusan dari kit ujian kendiri tersebut, samada positif, negatif atau tidak sah, kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui aplikasi mySALIXIUM yang akan disegerakkan (synced) secara automatik ke dalam aplikasi MySejahtera.

Dilancarkan ke pasaran pada minggu lepas, SALIXIUM adalah produk buatan Malaysia pertama dari jenisnya dan telahpun diluluskan untuk penjualan di Malaysia oleh KKM. SALIXIUM menggunakan
teknologi immunoassay aliran lateral untuk mengesan
antigen SARS-CoV-2 dalam spesimen swab air liur dan
dinding bahagian dalam hidung. Ia boleh digunakan oleh makmal perubatan atau pekerja kesihatan bagi ujian tempat rawatan (point-of-care) dan ujian kendiri oleh umum di rumah.

Menurut Ezuan Yaacob, Ketua Pegawai Eksekutif dan salah seorang Pengasas MeDKAD “Integrasi ini adalah salah satu dari langkah proaktif dari kedua-dua pihak untuk bekerjasama memerangi penularan pandemik COVID-19. Ini adalah sangat penting terutamanya jika dilihat trend penularan varian baru yang amat membimbangkan iaitu varian Beta dan Delta. Hasil ujian menunjukkan bahawa ukuran sensitiviti SALIXIUM adalah 91.23% dan ukuran spesifikasi adalah 100%. Ia juga telah melepasi penilaian berdasarkan hasil ujian makmal yang dikeluarkan oleh Institute of Medical Research (IMR).”

Tambah Ezuan lagi, “Dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk melaporkan keputusan ujian yang benar untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini terutamanya jangkitan virus COVID-19. Pertama sekali, pengguna hendaklah mengimbas kod unik QR di atas kotak kit ujian sebelum menggunakannya. Selepas melengkapkan proses ini, pengguna hendaklah menangkap gambar peranti ujian serta memuat naik imej tersebut melalui aplikasi. Seterusnya visi artificial intelligence (AI) kami akan mengesahkan hasil ujian. Keputusan ujian pengguna samada positif, negatif atau tidak sah akan dikemaskini ke MySejahtera dan dilaporkan terus ke KKM”.

SALIXIUM kini boleh didapati melalui kedai atas talian MeDKAD iaitu MedCart dan farmasi-farmasi yang terpilih. Berlainan daripada kit ujian kendiri yang juga telah berada di pasaran, SALIXIUM memerlukan pengguna mendapatkan dua sampel spesimen swab air liur dan bahagian dalam hidung yang meningkatkan kadar pengesanan jumlah virus atau viral load pengguna. Kit ujian ini adalah pertahanan peringkat pertama dalam usaha untuk memerangi ancaman pandemik yang masih berlarutan dan krisis kesihatan di masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.medkad.com /www.salixium.com .

Ikuti perkembangan terbaru SALIXIUM melalui media sosial dengan nama SALIUM TEST KIT di Instagram, Facebook dan Twitter.

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts