MeDKAD Lancarkan Salixium – Kit Ujian Kendiri Rapid Antigen Buatan Malaysia

  • Dijadualkan untuk penjualan kepada umum pada 19 Julai 2021, kit ujian kendiri ini mudah digunakan, jimat dan berkesan untuk mengesan jangkitan virus SARS-CoV-2
  • Disahkan bebas dari unsur haiwan oleh Halvec Laboratories, SALIXIUM akan membantu rakyat Malaysia melangkah ke arah kehidupan seharian yang normal

MeDKAD SDN BHD (MeDKAD) hari ini mengumumkan pelancaran produk kit ujian kendiri rapid antigen COVID-19, SALIXIUM COVID-19 Rapid Antigen Test (Sampel calitan Air Liur/Hidung) (SALIXIUM). Ianya merupakan produk buatan Malaysia pertama dari jenisnya dan telahpun diluluskan untuk penjualan di Malaysia oleh Kementerian Kesihatan. Ini memberikan hak kepada MeDKAD untuk memasarkan dan menjual SALIXIUM yang tersedia (off the shelf).

SALIXIUM menggunakanteknologi immunoassay aliran lateral untuk mengesanantigen SARS-CoV-2 dalam spesimen swab air liur dandinding bahagian dalam hidung. Ia boleh digunakan oleh makmal perubatan atau pekerja kesihatan bagi ujian tempat rawatan (point-of-care) dan ujian kendiri oleh umum di rumah.

Menurut Syahriah Razak, Pengurus Projek di bawah MeDKAD, “SALIXIUM menggunapakai teknologi imunokromatografi untuk mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 di dalam spesimen swab air liur dan hidung. Ujian mudah ini mengambil masa dari 10 hingga 15 minit untuk keseluruhan proses dan hasil ujian dilihat daripada kawasan garis ujian yang mengesahkan kehadiran antigen”.

Syahriah Razak, Pengurus Projek

Syahriah juga menjelaskan tentang prinsip kit ujian rapid antigen tersebut, “Bila spesimen yang mengandungi antigen SARS-CoV-2 ditambahkan kepada pad sampel, ia akan bertindak balas terhadap conjugate (COVID-19 antibodi-gold conjugate) untuk
membentuk kompleks, bergerak di sepanjang membran
nitroselulosa atas prinsip kapilari dan melekat pada
COVID-19 antibodi yang ditetapkan di kawasan garis ujian. Kehadiran atau ketidakhadiran antigen SARS-CoV-2 ditentukan dengan kemunculan garis merah jambu-ungu di kawasan tersebut. Sekiranya spesimen tidak mengandungi antigen SARS-CoV-2, tiada jalur warna akan muncul dan ini menandakan bahawa ujian adalag negatif. Untuk berfungsi sebagai kawalan prosedur, jalur warna akan muncul di kawasan kawalan produk tanpa mengira kehadiran atau ketiadaan antigen SARS-CoV-2 dalam sampel”.

Tambah Syahriah, “Sebanyak 242 sampel swab calitan air liur/hidung diuji dengan SALIXIUM dan hasil kajian dibandingkan dengan spesimen yang diuji menggunakan real-time RT-PCR yang diluluskan oleh FDA Emergency Use. Berdasarkan kepada perbandingan tersebut, hasil ujian menunjukkan bahawa ukuran sensitiviti SALIXIUM adalah 91.23% dan ukuran spesifikasi adalah 100% – iaitu hasil yang amat mengagumkan bagi kit ujian kendiri. Kit ujian ini telah melepasi penilaian berdasarkan hasil ujian makmal yang dikeluarkan oleh Institute of Medical Research (IMR).”

Kajian juga telah dijalankan untuk menilai tahap pemahaman untuk menjalankan ujian menggunakan kit ujian kendiri di rumah. Hasil kajian responden menunjukkan tahap pemahaman adalah baik dan para responden juga bersetuju bahawa arahan penggunaan adalah jelas dan mudah difahami, calitan air lir dan hidung untuk sampel swab juga boleh diambil dengan mudah dan interpretasi hasil ujian adalah jelas.

MeDKAD ditubuhkan pada tahun 2016 dengan misi untuk memperkasa sebuah ekosistem kesihatan yang adil dan berfaedah (“Empower a Fairer Health Benefits Ecosystem”). Sebagai sebuah syarikat yang berinovatif, kredibiliti dan prestasi MeDKAD meningkat dari tahun ke tahun dalam usaha membantu tiga pihak berkepentingan yang utama iaitu – majikan, pekerja dan panel (klinik, hospital, pusat rawatan pergigian, pusat optikal dan farmasi) – untuk mengurus secara efisyen dan efektif proses tuntutan faedah kesihatan pihak-pihak yang berkaitan. Sejajar dengan aspirasi menjadi pembekal kepada keperluan kesihatan, dan meluaskan pasaran B2B kepada B2C di tahun 2021, MeDKAD telah memperoleh kepakaran untuk mebangunkan, menghasilkan bersama kolaborator dan memasarkan SALIXIUM di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob menjelaskan, “Di MeDKAD, kami mempunyai saintis dan pakar perubatan sendiri yang bukan sahaja mempunyai rangkaian yang tepat serta kebolehan untuk menjalankan ujian mereka sendiri namun boleh bekerjasama dengan institusi kajian samada dari dalam atau luar negara untuk memastikan keberkesanan produk. Selain Malaysia, kami merancang untuk menembusi negara-negara lain di Asia, Eropah dan Timur Tengah. SALIXIUM juga telahpun digunakan dengan meluas di Perancis, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu terutamanya di Dubai”.

“SALIXIUM dijadualkan berada di pasaran pada 19 Julai 2021. Ianya adalah objektif utama kami untuk memastikan agar kit ujian kendiri ini boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia, efektif dari segi kos dan dipercayai untuk mendapatkan hasil ujian pantas tentang jangkitan virus SARS-CoV-2. Kami masih di dalam proses mendapatkan pensijilan Halal bagi SALIXIUM. Walaubagaimanapun, kit ujian ini telah disahkan bebas dari kandungan babi dan tidak mengandungi sebarang kesan DNA haiwan oleh Halvec Laboratories Sdn Bhd. Kit ujian ini adalah pertahanan peringkat pertama dalam usaha untuk memerangi ancaman pandemik yang masih berlarutan. Jika pihak umum ada sebarang persoalan atau kesulitan berkenaan SALIXIUM, mereka boleh menghubungi pihak kami melalui e-mel info@salixium.com

“Walaupun impak negatif pandemik ini sangat besar, ianya telah memberikan peluang kepada syarikat tempatan seperti MeDKAD untuk berinovasi dalam membantu pihak kerajaan dalam inisiatif mengawal penularan pandemik. Selain itu, ia juga dapat memacu ekonomi negara dan memberikan inspirasi kepada bakat-bakat baru untuk membangunkan lebih banyak produk inovasi yang berkaitan selari dengan polisi negara yang terkandung di dalam Industry 4.0”, tegas Ezuan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.medkad.com /www.salixium.com

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts