Memacu Kelestarian Kewangan Islam Ke Persada Global

Ciif Bekerjasama Bersama Pakar Industri Untuk Membincangkan Pelbagai Peluang Dan Cabaran Yang Dihadapi Oleh Institusi Kewangan Islam Dalam Pelaksanaan Dasar Esg

Sebagai tanda sokongan terhadap agenda ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) di dalam servis kewangan, Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF) baru-baru ini telah menganjurkan webinar secara langsung dengan tajuk “ “ESG dan Kewangan Islam” untuk membincangkan pelbagai peluang dan cabaran yang dihadapi oleh institusi kewangan Islam dalam pelaksanaan dasar ESG. Webinar tersebut merupakan salah satu dari siri perbincangan yang dinamakan #CIIF.Tallks, yang telah menampilkan pakar-pakar dan figura korporat yang dihormati dalam industri kewangan Islam.

Sesi webinar ini telah mengumpulkan di antaranya Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Berhad, Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias, Pengerusi Malaysia Venture Capital Management Berhad bersama-sama dengan Dr. Azura Othman, Ketua Pegawai Eksekutif CIIF sebagai panelis. Sesi #CIIF.TALKS ini telah dipengerusikan oleh Nik Shahrizal Sulaiman dari agensi pengauditan antarabangsa, PricewaterhouseCoopers, yang juga merupakan seorang pengamal industri yang disegani. Perbincangan tersebut telah dihadiri oleh peserta-peserta dari dalam dan juga luar industri kewangan Islam dari Malaysia dan juga luar negara.

Di antara topik yang dibincangkan adalah aspek-aspek ESG yang diperlukan untuk implementasi yang efektif dan memberi impak  kepada  kewangan Islam. Sesi tersebut juga mengakui terdapatnya kesedaran dan permintaan yang semakin tinggi tentang ESG terutamanya di kalangan generasi baru. Para panelis juga telah bersetuju bahawa adaptasi dasar ESG ke dalam kewangan Islam akan membawa pelbagai faedah kepada pelanggan dan pelabur, serta amat memberi manfaat kepada pemeliharaan alam sekitar.

Institusi kewangan Islam di Malaysia mendahului pesaing global dalam usaha pengintegrasian ESG dengan pengenalan inisiatif Value-Based Intermediation (VBI) oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2017. Bertepatan dengan situasi semasa, kebanyakan konsep serta pandangan yang diutarakan oleh panelis berkisar tentang cara-cara untuk meningkatkan lagi prestasi industri dan terus berdaya tahan ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik. Para peserta menerima perspektif mendalam tentang peluang yang boleh memacu prestasi Malaysia di pentas dunia melalui  adaptasi ESG di dalam perniagaan dan juga kepentingan data dalam pelaksanaannya. Penyertaan pengamal industri yang berkaliber dari industri perbankan dan organisasi lain amat memberi impak kepada perbincangan tersebut justeru menyemarakkan lebih banyak idea tentang peluang yang boleh direbut.

Sejajar dengan objektif penubuhannya, CIIF terus berkolaborasi dengan organisasi-organisasi yang relevan bagi membangunkan program mesra industri untuk manfaat ahli-ahlinya dan juga pihak umum untuk menimba pengetahuan yang lebih mendalam bersesuaian dengan kehendak industri dan persaingan yang semakin sengit. Webinar #CIIF.Tallks adalah salah satu diantara inisiatif tersebut.

Dr Azura Othman, Ketua Pegawai Eksekutif, CIIF.

“CIIF begitu reseptif terhadap sebarang perubahan di dalam industri kewangan dan kami akan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti ahli-ahli di institut ini. Selain itu, adalah amat penting untuk pihak umum mengetahui tentang perbezaan di antara kewangan Islam dan kewangan konvensional. Kesedaran tentang ESG dan data sokongan akan sentiasa ditekankan kepada ahli-ahli CIIF dengan harapan agar ia dapat melestarikan industri kewangan Islam di tahap optimum. Hasil daripada perbincangan ini akan memberi kesan yang besar kepada sebarang proses merangka strategi dan pembuat keputusan di masa hadapan bagi semua organisasi yang terlibat termasuk CIIF. Kami amat berbangga dengan penyertaan para panelis yang sangat berkaliber dalam webinar kami pada kali ini,” tegas Dr. Azura Othman.

Sesi webinar #CIIF.Talks akan diteruskan sepanjang tahun ini sebagai platform untuk membincangkan pelbagai topik dan idea-idea baru yang dapat membangunkan industri kewangan Islam di Malaysia justeru mengukuhkan kredibiliti dan meningkatkan status pakar-pakar professional di dalam bidang kewangan Islam di Malaysia. CIIF percaya bahawa Malaysia mempunyai kemampuan besar untuk mengasah bakat-bakat baru di dalam industri kewangan Islam bukan sahaja untuk memenuhi kehendak pasaran semasa malah mengukuhkan lagi kedudukan negara ini sebagai antara pembekal utama ahli-ahli profesional yang berkualiti tinggi di dalam industri.

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts