Siti Sarah Mohon Maaf Atas Kenyataan Terhadap Orang Asli

Siti Sarah Raissuddin, bukanlah nama biasa dalam industri hiburan tanah air, isteri kepada pelawak dan pelakon, Shuib, baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan seolah-olah beliau telah memperlekehkan Orang Asli di Negara ini.

Berikutan dengan itu, melalui syarikat pengurusannya, Indigital, Siti Sarah tampil dengan permohonan maaf.

“Lebih dua dekad berada dalam industri seni tanah air, saya sangat mementingkan etika dalam setiap perkara yang saya lakukan termasuklah setiap posting yang ingin dimuat naik di media sosial. Saya percaya segala perbuatan akan menjadi perhatian masyarakat.”

Siti Sarah / Foto: Instagram @sitisarahraissuddin

“Namun susulan insiden yang tercetus, ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasi saya sebagai selebriti dan usahawan. Di sini, saya ingin jelaskan bahawa saya Siti Sarah Raissuddin tidak pernah terlintas untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, malah menghormati seluruh masyarakat di Malaysia,” jelas Siti Sarah.

“Bagaimanapun sebagai manusia kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Justeru saya menerima permohonan maaf yang dibuat Pengarah Syarikat House of Ridz Okumura Sdn Bhd, Ridzo Okumura yang memuat naik video perbualan kami tanpa mendapat keizinan saya terlebih dahulu sehingga menjadi tular.”

“Atas insiden yang berlaku ini juga saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia terutamanya kepada masyarakat Orang Asli. Saya amat berharap permohonan maaf saya ini diterima kerana ianya bukanlah sesuatu yang disengajakan.”

“Saya mohon isu ini tidak akan diperbesarkan lagi dan kenyataan ini akan menjadi yang pertama dan terakhir dari saya.”

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts