Tersepit Antara Negara, Harga Rentas Negara Meningkat

Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Johari, Ketua Menteri Negeri Sarawak / Foto: SarawakVoice

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Hari Inovasi Dan Integriti Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak 2020 (HITS 2020) di Lawas, hari ini, mengulas mengenai keputusan Kerajaan Brunei Darussalam berkaitan dengan Perintah Bayaran Keluar Dan Bayaran Masuk yang akan dilaksanakan pada 1 Oktober ini.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak menghormati dan akur dengan keputusan Kerajaan Brunei Darussalam yang telah menangguhkan bayaran keluar dan bayaran masuk hingga ke tarikh tersebut, namun perundingan akan diteruskan.

“Kita Sarawak menghormati keputusan daripada Kerajaan Brunei Darussalam dan akur kerana ini adalah prosedur yang telah diputuskan oleh negara jiran kita.” katanya.

“Namun demikian kita akan terus berunding,”

Jelasnya, perundingan diserahkan kepada Kerajaan Pusat bagi melakukan perbincangan dengan Kerajaan Brunei Darussalam.

“Saya serah kepada Kerajaan Pusat untuk menimbangkan perbincangan di antara Brunei Darussalam dengan Kerajaan Malaysia dan kita telah meminta menteri kanan kita mencari jalan bagamana ia boleh tidak membebankan masyarakat kita kerana khususnya di kawasan utara ini termasuk Limbang, Lawas Dan Miri mereka selalu berulang-alik di antara Brunei, Bandar Seri Begawan. Walaupun demikian, kita mesti menghormati keputusan yang telah dibuat kepada pihak mereka.”

Peta Memisahkan Sebahagian Negeri Sarawak (Limbang, Lawas & Miri) dan Brunei

Pandangan Dari Anak Jati Limbang Yang Tersepit

Saya sebagai anak jati Limbang. Menetap dan bekerja di Limbang turut sama terkesan kerana kebanyakan urusan terutama urusan berkaitan kesihatan terpaksa untuk mendapatkan perkhidmatan dan fasiliti terbaik di Bahagian Miri. Keadaan geografi Limbang yang sangat unik dikelilingi Negara Brunei menyukarkan pergerakan rakyat yang tinggal di Limbang.

Kami faham rundingan dari dua negara memakan masa dan dalam masa yang sama kami hormati keputusan negara jiran. Tetapi kami meminta belas ihsan dari pihak berwajib untuk mengurangkan kos tiket penerbangan kepada satu amaun yang menguntungkan semua pihak.

Pada masa ini, penerbangan sehala dari Limbang ke Miri berharga RM166 dan meningkat pada “peak hour”. Kami tidak mengharapkan jalan raya buat masa terdekat ini kerana sangat mustahil untuk siap pada esok hari.

Kami daerah terpencil menyebabkan suara kami kurang jelas dipersada Malaysia. Tapi fahamilah kesengsaraan pihak yang mempunyai keluarga di luar daerah Limbang. Di tanah yang sama tapi dikurung di daerah bernama Limbang.

Akhir sekali, terima kasih kepada individu yang sanggup bermastautin di Daerah Limbang kerana sanggup bersama-sama mengharungi kesusahan ini bersama untuk memajukan lagi daerah kecil ini.

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts