Wahai Para Pengembara Rohani, Turki Menanti Anda

Peminat pelancongan keagamaan kini berpeluang untuk ke Turki dengan selamat dan selesa di bawah program Pensijilan Pelancongan Sihat Kerajaan Turki.

Turki sebuah negara indah yang terletak di lokasi unik dimana sebahagiannya terletak di Asia dan sebahagiannya lagi terletak di Eropah. Ia terkenal dengan hidangan masakan yang istimewa dan sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan budaya. 

Turki merupakan negara rentas benua yang berkedudukan di sempadan Asia dan Eropah yang sering dikunjungi para pengembara apabila berpeluang.  

Negara Eurasia ini tidak mungkin boleh diletakkan dalam satu kategori tertentu kerana Turki ditubuhkan dengan gabungan kepelbagaian warisan dan sejarah yang mengagumkan. 

Ia dilahirkan dengan pertemuan Timur dan Barat, penyatuan pelbagai budaya dan penganut agama yang saling memahami dan menghormati satu sama lain serta kebebasan untuk menganut agama yang berbeza. Bukti persefahaman ini dapat dilihat dengan kedamaian yang dinikmati negara ini sejak berabad yang lalu.  

Ketenangan dapat dialami oleh para pengunjung terutama mereka yang ingin mencari pencerahan atau keseimbagan batin. Aturan langkah menempuhi mercu tanda dan artefak yang terpelihara sejak awal abad dapat mendatangkan inspirasi untuk ketenangan hati.  

Walaupun keadaan pandemik pada waktu ini mengakibatkan ramai yang risau untuk melancong ke luar negara, Turki telah merancangkan yang terbaik untuk para pengunjung yang berminat untuk ke negara yang indah ini! 

Sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk mempromosikan pelancongan yang selamat, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Republik Turki telah memulakan program  Pensijilan Pelancongan Sihat, yang memastikan bahawa pelancong ke Turki dapat mengembara ke negara ini dengan cara yang selamat dan bersih sambil mengelakkan sebarang keraguan.  

Berikut adalah beberapa lokasi yang mesti dikunjungi seperti yang disyorkan oleh Pejabat Pelancongan & Maklumat Kedutaan Turki untuk penerokaan yang paling indah.              

  1. Hagia Sophia Mosque

Hagia Sophia Mosque

Salah sebuah tarikan pelancong yang mesti dikunjungi di Turki adalah Hagia Sophia, sebuah masjid yang menakjubkan dimana Islam dan Kristian bertemu dan wujud secara harmoni antara satu sama lain. 

Di bawah struktur yang megah ini terdapat sejarah yang kaya, sama seperti kekayaan budaya kota kosmopolitan yang merupakan lokasi kedudukan mercu indah ini.  Pada mulanya dibina sebagai gereja semasa Empayar Byzantine yang kemudiannya dijadikan sebuah masjid semasa Kerajaan Uthmaniyyah, Hagia Sophia mencerminkan perubahan agama mengikut peredaran abad. 

Mosaik di masjid

Pada tahun-tahun kemudian, Hagia Sophia telah juga dijadikan muzium dan baru-baru ini dijadikan sebuah masjid semula.  Hari ini, para pengunjung dapat mengagumi mosaik yang mewah dan menghayati menara megah serta seni ukiran Islam yang terindah waktu melawat monumen suci ini.  

2. Topkapi Palace Museum

Topkapi Palace Museum

Sebuah istana yang dijadikan muzium, Topkapi Palace Museum juga merupakan lokasi pelancong yang popular khas buat mereka yang menjalankan pengembaraan rohani. Muzium besar ini yang terletak di daerah Fatih, Istanbul, menempatkan Peninggalan Suci Islam para nabi termasuk warisan peninggalan Nabi Muhammad SAW selama lebih dari 500 tahun. Pusaka peninggalan Rasulullah SAW ini disimpan dalam keadaan yang rapi agar pelancong dapat menikmati keindahan busur beliau dan pedang para sahabatnya.   

Peninggalan pelbagai Sultan yang berbeza di Topkapi Palace Museum
Helmet dan Plat Perisai dari abad yang berlainan di Topkapi Palace Museum

Ini adalah beberapa warisan pusaka yang tersimpan di istana. Para pengunjung dapat meluangkan masa menjelajahi ruang megah Uthmaniyyah dan menyusun tapak ke ruang yang pada suatu masa merupakan tempat kediaman para penguasa berkarisma.   

Ruang megah Uthmaniyyah dalam keadaan rapi di Topkapi Palace Museum

3. Blue Mosque

Satu lagi destinasi menarik untuk dijelajahi adalah keajaiban seni bina ini yang telah wujud sejak Zaman Uthmaniyyah. Masjid Sultan Ahmed atau lebih dikenali sebagai Blue Mosque merupakan monumen terkenal di Turki. Ia dikenali sebagai Masjid Biru kerana bahagian dalam masjid dihiasi jubin berwarna biru berjalur putih yang bercorak tradisional dan dikelilingi kaligrafi ayat suci al-Quran.  

Sambil menghayati karya seni di sekeliling masjid, ketenangan dan kedamaian sungguh dirasai sewaktu melangkah masuk ke rumah suci ini. Masjid ini berfungsi sepenuhnya dan dikunjungi para jemaah yang ingin mendirikan ibadat harian. Masjid Biru ditutup kepada pengunjung pelancongan untuk solat lima waktu dan dibuka semula selepas setiap waktu.    

Bahagian dalam Blue Mosque

4. Eyüp Sultan Mosque

Eyüp Sultan Mosque

Dirikan solat subuh di salah sebuah masjid yang terkenal di Turki sambil menikmati keindahan seni bina, reka bentuk, dan perincian yang cantik dan menarik. Luangkanlah masa untuk mengagumi persekitaran permata indah ini!  

Terletak di daerah Eyüp di Istanbul, Masjid Sultan Eyüp dibina pada tahun 1453 dan merupakan salah satu tempat yang wajib dikunjungi umat Islam yang ingin mendalami ilmu agama dengan lebih baik. 

Masjid ini berfungsi sebagai lokasi pemeliharaan barang-barang peribadi Nabi Muhammad SAW dan merupakan sebuah makam sahabat Nabi, Abu Ayyub al-Ansari (juga dikenali sebagai Ebu Eyüp el-Ensari dalam bahasa Turki) yang meninggal dunia ketika membawa panji-panji Islam waktu Pemberontakan Arab ke kota ini. Para pelancong bukan sahaja dapat meneliti dari sudut pandangan orang Turki zaman Empayar Uthmaniyyah, mereka juga berpeluang untuk memahami nilai peribadi orang Turki ketika itu yang terus ditegakkan hingga ke hari ini.    

5. Grand Mosque of Bursa

Grand Mosque of Bursa

Suasana Bursa yang menggamit jiwa menjadikan ia destinasi pelancong yang teristimewa. Di sinilah mulanya sejarah Empayar Uthmaniyyah yang luar biasa. Berkat nilai sentimental dan sejarah masjid ini meletakkannya sebagai sebuah khazanah yang tidak ternilai. Juga dikenali sebagai muzium kaligrafi, masjid agung ini dihiasi seni kaligrafi Islam yang cantik pada sekeliling dinding.  

Terletak di tengah-tengah Empayar Uthmaniyyah, Grand Mosque of Bursa yang berusia 600 tahun ini adalah ibu kota pertama Empayar tersebut dan telah menjadi salah sebuah tempat perlindungan Islam yang paling terkenal selepas Masjid al-Haram di Mekah. 

Struktur monumen suci ini dibina oleh pemerintah keempat Empayar Uthmaniyyah, Sultan Bayezid I untuk memperingati pertempurannya yang berjaya semasa Perang Salib Nicopolis. Digambarkan sebagai “Hagia Sophia of Bursa“, ia adalah salah satu tarikan pelancong yang terpenting di Turki yang mesti dikunjungi para pelancong keagamaan.            

6. Yesil Turbe (Green Tomb)

Makam Sultan Uthmaniyyah Mehmed I

Terletak hanya lima minit dari Grand Mosque of Bursa, makam ini merupakan sebahagian dari Kompleks Uthmaniyyah yang monumental abad ke-14 yang terdiri daripada makam, masjid, dan sekolah teologi. Makam di mana Sultan Uthmaniyyah Mehmed I dimakamkan pada tahun 1421 dibina oleh putera Sultan dan direka oleh arkitek (Haci Ivas Pasha) yang juga mereka Masjid Yesil yang dikenali sebagai Green Mosque.

Makam ini mempunyai jubin berwarna-warni di bahagian luar dan dalaman dengan pintu masuk yang mempunyai reka bentuk separa payung. Selain itu, para pengunjung dapat melihat bahawa kedudukan makam ini terletak lebih tinggi dari monumen yang lain di kompleks dan ia dibina dengan struktur heksagon.

7. Mevlana (Rumi) Complex Konya

Mevlana Museum 

Rasakan pengaruh Maulana Rumi, seorang tokoh sufi yang merupakan satu nama besar di Turki di Mevlana Museum. Monumen ini berbentuk kubah yang berwarna hijau. Ia didirikan di atas makam penyair, juri, sarjana Islam, dan  pemimpin agama Parsi abad ke-13 iaitu Maulana Jalaluddin Rumi.  

Terletak di pusat bandar, kompleks ini yang diasaskan oleh Maulana Rumi pada abad ke-14 adalah tarikan pelancongan utama di bandar ini. Dan kini, para pelancong dapat menikmati persembahan tarian sufi oleh sekumpulan darwis sufi (persaudaraan agama) yang dipersembahkan di Muzium ini waktu musim panas.    

Darwis Sufi mempersembahkan Tarian Sufi 

Makin hari makin ramai pelancong yang mengunjung makam ini sebagai tanda hormat mereka kepada ahli falsafah Turki yang mistik dan humanistik. Sejak berabad yang lalu, Maulana Rumi, seorang penyair yang paling disayangi, berbahasa menggunakan rasa cinta, kedamaian, dan kesejatian iman. Sumbangan beliau kepada umat manusia dapat dirasa sehingga ke hari ini. Beliau dihormati sebagai seorang tokoh murni yang banyak berbincang mengenai konsep ketuhanan dimana pengaruh perbicaraan beliau melampaui batas negara dan kepelbagaian etnik dunia Islam dan selebihnya.                      

8. Halil-ur Rahman Lake 

The Pool of Sacred Fish (Tasik Halil-ur Rahman)

Turki memang terkenal dengan destinasi keagaaman dan lokasi pelancongan yang seterusnya merupakan sebuah tempat yang amat terkenal di istanbul, khas buat mereka yang menuju ke Tenggara Turki.

Terletak di halaman Masjid Halil-ur-Rahman, tasik ini sungguh bermakna oleh kerana kaitannya dengan mukjizat yang dialami oleh Nabi Ibrahim AS dimana beliau dilemparkan ke dalam api akibat kemarahan Raja Nimrod, namun api berubah menjadi air dan balak berubah menjadi ikan.

Hari ini, ribuan ikan kap berada di tasik ini dan para pelancong digalakkan memberi makan kepada ikan-ikan tersebut. Keajaiban mungkin dialami mana-mana pengunjung kerana lagenda mengatakan sekiranya seseorang pengembara melihat ikan putih, akan terbukanya pintu syurga untuk beliau.  

Ini adalah beberapa destinasi popular yang disarankan oleh Kerajaan Turki, malah ada lebih banyak lagi daya tarikan untuk para pengembara rohani di Turki. Negara indah ini diliputi kota-kota kosmopolitan dengan kisah bersejarah yang terlihat pada ukiran mercu tanda, reka bentuk seni bina, dan rahsia keunikan budaya yang menanti untuk diterokai berkat usaha Kerajaan Turki dengan inisiatif mereka untuk memastikan pelancongan yang selamat untuk semua. 

Kongsi Artikel Ini
By Zainal Afnan

Related Posts